fb fb fb fb fb

Warga Amerika ditembak mati dalam demonstrasi di Tebing Barat

Foto AFP

NABLUS, 7 September - Seorang wanita Turkiye-Amerika ditembak mati pada Jumaat ketika berdemontrasi menentang penempatan Israel di bandar Beita, Tebing Barat di mana tentera Israel mengakui telah melepaskan tembakan.

Turkiye mengecam kematian Aysenur Ezgi Eygi manakala Amerika Syarikat menyebutnya sebagai peristiwa "tragis" dan mendesak sekutunya Israel untuk menyiasat.

Pejabat hak asasi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengatakan bahawa Eygi dibunuh dengan "tembakan di kepala".

Menurut PBB, Eygi, 26, sedang menyertai "protes anti-penempatan secara aman" di Beita, tempat demonstrasi mingguan diadakan.

Penempatan Israel di Tebing Barat tempat kira-kira 490,000 orang tinggal adalah haram mengikut undang-undang antarabangsa.

Kawasan penempatan Eviatar yang menghadap Beita disokong oleh menteri kanan Israel yang berhaluan kanan dan telah menarik para penunjuk perasaan ke bukit berdekatan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, di mana tentera Israel telah membunuh ramai rakyat Palestin.

Eygi telah dibawa ke hospital Rafidia di Nablus "dengan tembakan di kepala" dan kemudiannya disahkan mati, kata pengarah hospital, Fouad Nafaa.

Turkiye berkata beliau dibunuh oleh "tentera pendudukan Israel", dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan mengecam tindakan Israel sebagai "barbarik".

Sekutu utama Israel, Washington, mengatakan bahawa mereka telah "menghubungi kerajaan" untuk maklumat lanjut.

"Kami sangat terganggu oleh kematian tragis seorang warganegara Amerika," kata Setiausaha Akhbar White House, Karine Jean-Pierre.

Qatar, sebagai perantara utama dalam rundingan gencatan senjata untuk menghentikan perang Gaza, mengecam "pembunuhan oleh pendudukan Israel" ke atas Eygi sebagai "jenayah kejam".

"Kesunyian masyarakat antarabangsa dalam menghadapi pelanggaran kejam ini adalah dorongan baru untuk pendudukan melakukan lebih banyak kekejaman," kata kenyataan kementerian luar Qatar.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN