fb fb fb fb fb

Lula pecat menteri susulan dakwaan gangguan seksual

Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva berbual dengan Silvio Almeida semasa satu majlis di Istana Planalto di Brasilia pada 23 Nomber 2023 /AFP

BRASILIA, 7 September - Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva memecat Menteri Hak Asasi Manusia dan Kewarganegaraan, Silvio Almeida, pada Jumaat susulan dakwaan bahawa dia melakukan gangguan seksual terhadap beberapa wanita, termasuk seorang rakan kabinet.

Skandal berkenaan yang mencetuskan kemarahan di Brazil, merupakan kejadian pertama seumpamanya yang berlaku dalam pentadbiran Lula sejak pemimpin veteran berhaluan kiri itu kembali berkuasa pada tahun lalu.

"Setelah mengambil kira tuduhan berat terhadap menteri Silvio Almeida dan selepas bertemu dengannya... Presiden Lula memutuskan untuk menyingkirkan dia daripada jawatan, menurut kenyataan dikeluarkan pejabat presiden.

"Presiden juga berpandangan tiada kemungkinan untuk mengekalnya dengan jawatan selepas mempertimbangkan perihal dakwaan tersebut," tambah kenyataan itu.

Terdahulu, portal berita The Metropoles melaporkan Me Too Brazil, sebuah pertubuhan yang berkait dengan perjuangan wanita, menerima beberapa aduan terhadap Almeida, termasuk daripada Menteri Kesaksamaan Kaum Anielle Franco.

Pertubuhan bukan kerajaan itu mengesahkan wujud laporan daripada mangsa dan wanita terlibat telah "menerima sokongan psikologi dan perundangan."

Polis persekutuan pada Jumaat pula memberi jaminan akan menyiasat aduan-aduan tersebut.

Manakala suruhanjaya etika presiden juga memaklumkan telah melancarkan siasatan terhadap dakwaan berkenaan.

Almeida, 48, merupakan peguam dan seorang profesor di universiti yang dilihat sebagai salah seorang ahli akademik terkemuka, menolak tuduhan itu sebagai pembohongan yang bertujuan untuk mencemar imejnya selaku "orang kulit hitam berpengaruh di sektor awam."

Namun, Anielle Franco, 40 juga berkulit hitam dan belum lagi memberikan maklum balas berkenaan pendedahan tersebut. - AFP

Trainee2