fb fb fb fb fb

Wanita Thailand ditahan disyaki seludup kaki ayam bernilai lebih RM70,000 dari Malaysia

Kaki ayam yang dirampas oleh polis Thailand di Hat Yai/Foto Polis Hat Yai

BANGKOK, 30 Mac - Seorang wanita Thailand ditahan di Songkhla, kelmarin, kerana disyaki menyeludup masuk kaki ayam bernilai RM77,972 dari Malaysia.

Selepas memperoleh maklumat, Bahagian Polis Perlindungan Pengguna (CPPD) bawah Biro Siasatan Pusat (CIB) Daerah Hat Yai yang diketuai Leftenan Kolonel Anand Buakaew, menyerbu sebuah pondok di daerah itu.

Pondok berkenaan didapati dijadikan gudang sejuk beku untuk menyimpan karkas haiwan, terutama ayam itik yang dipercayai diseludup dari Malaysia.

"Ketika operasi, pasukan memberkas seorang wanita berusia 46 tahun yang juga penjaga gudang itu, serta menemui 5,664 kilogram (kg) kaki ayam dan 565kg kaki ayam dibuang tulang.

"Ia menjadikan keseluruhannya berjumlah 6,229kg dengan nilai hampir 600,000 baht," kata Anand kepada Bernama ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai dokumen untuk menunjukkan sumber negara asal anggota ayam itu, mahupun permit membawa masuk karkas haiwan ke negara ini dan permit membawa haiwan atau karkas keluar atau masuk satu-satu zon ditetapkan.

"Kesemua item terbabit dirampas dan dihantar kepada pegawai penyiasat di Balai Polis Hat Yai untuk proses perundangan seterusnya," katanya. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN