MOSCOW, 2 Disember - Wanita tertua di Rusia, Klavdiya Gadyuchkina meninggal dunia di wilayah Yaroslavl, tengah Rusia pada usia 114 tahun, menurut Gabenor wilayah itu, Mikhail Yevrayev, lapor Xinhua.
Menurut Yevrayev, Gadyuchkina yang lahir pada 5 Dis 1910, melalui dan menyaksikan sendiri peristiwa penting dalam sejarah negara itu merentasi dua abad, termasuk Revolusi Rusia, dua perang dunia serta kemunculan dan perubahan struktur negara berkenaan.
Beliau meninggal dunia pada 29 Nov, beberapa hari sebelum ulang tahun kelahirannya yang ke-115, menurut laporan media.
Pada Oktober, warga emas itu secara rasmi tersenarai antara lima individu tertua di dunia oleh badan global yang mengiktiraf rekod umur maksimum manusia, LongeviQuest, dan menurut laporan, beliau masih mampu mengendalikan kerja rumah harian walaupun ketika berusia 107 tahun.
Tahun ini, Gadyuchkina dianugerahkan pingat jubli “80 Tahun Kemenangan dalam Perang Patriotik Besar 1941-1945”.
Wanita Rusia itu berkahwin dan mempunyai lima anak; suaminya meninggal dunia pada 1956 akibat kecederaan yang dialaminya di sebuah kilang.- BERNAMA-XINHUA