fb fb fb fb fb

Hong Kong tubuh jawatankuasa bebas siasat kebakaran Wang Fuk Court

Foto AFP

HONG KONG, 2 Disember – Pemimpin Hong Kong, John Lee mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa bebas yang diketuai hakim bagi menyiasat kebakaran di Wang Fuk Court, Tai Po, yang meragut 151 nyawa minggu lalu.

Kebakaran itu merebak pantas melalui jaring perancah yang tidak memenuhi piawaian kalis api, menjadikannya kebakaran bangunan kediaman paling dahsyat di dunia sejak 1980.

Lee berkata jawatankuasa itu akan meneliti keselamatan, pengawasan, pembinaan dan piawaian penyelenggaraan bagi mencegah tragedi serupa pada masa hadapan.

Sejumlah 14 individu ditahan polis dan agensi anti-rasuah, 13 daripadanya disyaki melakukan pembunuhan tidak sengaja.

Lee menegaskan pihak yang bertanggungjawab akan dipertanggungjawabkan dan sistem pengubahsuaian bangunan akan dirombak.

Beberapa keluarga mangsa kembali ke Wang Fuk Court untuk memulakan upacara pengebumian tradisional, manakala polis menyelesaikan operasi mencari dan menyelamat di lima daripada tujuh menara yang terjejas. -AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN