TOKYO, 25 September – Seorang wanita warga emas berusia 75 tahun ditahan polis selepas didakwa menyembunyikan mayat anak perempuannya dalam peti sejuk beku selama hampir 20 tahun.
Menurut jurucakap polis, suspek Keiko Mori mengaku bahawa mayat tersebut adalah anak perempuannya, Makiko, yang dilahirkan pada tahun 1975 dan kini berusia sekitar 49 atau 50 tahun jika masih hidup.
Mayat berkenaan ditemui dalam keadaan membongkok dengan wajah menghadap ke bawah, berpakaian T-shirt dan pakaian dalam.
Polis memaklumkan bahawa proses pereputan telah bermula dan satu bedah siasat akan dijalankan bagi menentukan punca kematian.
Mori yang hadir ke balai polis bersama seorang saudara untuk membuat pengakuan memberitahu dia membeli peti sejuk beku khas untuk menyimpan mayat anaknya selepas bau busuk mayat memenuhi rumahnya.
Wanita itu kini ditahan atas tuduhan menyembunyikan kematian.