BREST, 25 September – Tentera Laut Perancis merampas hampir 10 tan kokain bernilai lebih AS$600 juta (RM2.8 bilion) dari sebuah kapal nelayan di perairan Atlantik berhampiran pantai barat Afrika, Isnin lalu.
Pihak berkuasa maritim Atlantik berkata operasi itu melibatkan dua kapal perang Perancis hasil maklumat risikan anti-dadah, agensi maritim serta kerjasama polis Britain.
Menurut kenyataan pihak berkuasa, kokain seberat 9.6 tan dengan nilai pasaran hampir 519 juta euro (kira-kira RM2.65 bilion) dirampas dari kapal yang tidak berdaftar dengan mana-mana negara.
Operasi itu dilaksanakan di bawah misi tentera laut Corymbe, sejak 1990 ditugaskan di Teluk Guinea bagi memastikan keselamatan maritim di kawasan yang sering berdepan ancaman lanun.
Hujung Ogos lalu, Tentera Laut Perancis turut merampas hampir enam tan kokain di perairan sama.
Rampasan terbaharu menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini melepasi 45 tan.
Ketua Turus Tentera Laut Perancis, Laksamana Nicolas Vaujour sebelum ini menegaskan rampasan dadah tahun 2025 mencatat rekod baharu - AFP