NEW YORK, 25 September – Presiden Palestin, Mahmud Abbas dijadual berucap secara maya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) hari ini.
Abbas, 89, akan berucap tiga hari selepas sidang kemuncak khas yang dianjurkan Perancis menyaksikan beberapa negara Barat mengiktiraf negara Palestin.
Langkah itu dilihat meningkatkan tekanan diplomatik ke atas Israel.
Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sebelum ini menolak keras penubuhan negara Palestin.
Malah, Abbas dan pegawai kanan Palestin dilarang menyertai perhimpunan tahunan pemimpin dunia di New York.
Namun, Perhimpunan Agung PBB meluluskan usul membenarkan Abbas menyampaikan ucapan video.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menegaskan beliau tidak akan membenarkan penubuhan negara Palestin.
Netanyahu dijadual menyampaikan ucapan di pentas PBB pada Jumaat ini.
Menurut seorang pegawai White House, Trump mahu konflik ditamatkan segera.
Malah, rakan antarabangsa menunjukkan kesediaan bekerjasama dengan utusan khas itu bagi meneliti cadangan yang dibentangkan.
Macron menjelaskan cadangan AS turut merangkumi perlucutan senjata Hamas serta penempatan pasukan penstabilan antarabangsa di Gaza sebaik gencatan senjata dicapai.
Abbas menggesa Hamas menyerahkan senjata kepada Pihak Berkuasa Palestin demi negara Palestin merdeka di bawah satu pentadbiran sah.
Indonesia menyatakan kesediaan menghantar sekurang-kurangnya 20,000 anggota tentera. - AFP