fb fb fb fb fb

China sasar kurangkan gas rumah hijau menjelang 2035

Seorang wanita menunggang basikal ketika matahari terbenam di Kawasan Pusat Perniagaan (CBD) Beijing, China/Foto REUTERS

BEIJING, 25 September - Presiden China, Xi Jinping mengumumkan pelan tindakan iklim baharu pada mesyuarat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dengan sasaran mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 7 hingga 10 peratus menjelang 2035.

Xi berkata, buat pertama kalinya China menetapkan sasaran mutlak pengurangan pelepasan karbon merentasi seluruh ekonomi.

Beliau menegaskan negara itu akan melakukan pelbagai usaha bagi melepasi jangkaan sasaran tersebut.

“Penggunaan tenaga bukan fosil dalam campuran tenaga negara akan melebihi 30 peratus. Kapasiti tenaga angin dan solar akan meningkat lebih enam kali ganda berbanding 2020,” kata Xi.

China turut menyasarkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui mencecah 3.6 bilion kilowatt, manakala stok hutan sekurang-kurangnya 24 bilion meter padu.

Xi menambah, kenderaan tenaga baharu bakal menjadi komponen utama jualan pasaran automotif.

Beliau juga mengumumkan pasaran perdagangan karbon kebangsaan akan diperluaskan meliputi industri berintensiti tinggi, seiring usaha membina masyarakat yang lebih berdaya tahan terhadap kesan perubahan iklim global.

Xi menegaskan sasaran ini mencerminkan usaha maksimum China mengikut tuntutan Perjanjian Paris.

"Matlamat ini memerlukan komitmen tegas negara sendiri serta sokongan antarabangsa yang terbuka dan kondusif," katanya. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN