fb fb fb fb fb

Halaman Hospital Al-Shifa jadi 'tanah perkuburan'

Pekarangan hospital kini menjadi tanah perkuburan akibat seluruh Gaza dikepung rejim zionis Israel/Foto VIORY

GAZA, 25 September – Penduduk Palestin terpaksa mengebumikan jenazah ahli keluarga di halaman Hospital Al-Shifa, Gaza utara selepas akses ke tanah perkuburan terhalang susulan operasi ketenteraan Israel yang berterusan.

Rakaman menunjukkan orang awam menggali kubur sementara di pekarangan hospital, manakala yang lain berkumpul mengiringi jenazah yang dikafankan sebelum disemadikan di lokasi berkenaan.

“Kami tiada pilihan selain mengebumikan jenazah di halaman kecil hospital ini. Seluruh Gaza dikepung, sesiapa keluar berisiko ditembak,” kata seorang penduduk tempatan.

Beliau turut mendakwa pasukan Israel sebelum ini mengarahkan mereka berpindah ke selatan, tetapi ketika tiba di Al-Mawasi, tentera mula melepaskan tembakan menyebabkan mereka kembali semula ke utara.

Menurut Agensi Berita Palestin (WAFA), sekurang-kurangnya 29 terbunuh akibat tembakan dan serangan artileri Israel di seluruh Gaza pada Selasa, manakala puluhan lagi mengalami kecederaan.

Kementerian Kesihatan Gaza pula melaporkan 38 kematian baharu serta 190 kecederaan dalam tempoh 24 jam lalu.

Sejak 7 Oktober 2023, seramai 65,382 rakyat Palestin terbunuh manakala 166,985 lagi cedera. - VIORY

GRACE AISYAH KEDAYAN