fb fb fb fb fb

Taufan Ragasa: 14 maut di Taiwan, 2.2 juta penduduk dipindahkan

Kerajaan China memperuntukkan AS$49.2 juta bagi operasi menyelamat dan bantuan kecemasan/Foto AFP

YANGJIANG, 25 September – Sekurang-kurangnya 14 maut dan 46 cedera di Taiwan selepas empangan pecah di Hualien, ketika Taufan Ragasa membadai rantau itu dengan angin kencang serta hujan lebat.

Pihak berkuasa Taiwan berkata, lebih 7,600 penduduk dipindahkan manakala 1,200 lagi bermalam di pusat perlindungan.

Angka korban dikurangkan daripada 17 mangsa selepas mengenal pasti laporan yang telah disahkan oleh pihak berkuasa.

Ragasa kemudian membadai wilayah Guangdong di selatan China dengan kelajuan angin mencecah 145 kilometer sejam.

Keadaan itu memaksa hampir 2.2 juta penduduk dipindahkan ke lokasi selamat, menurut agensi berita Xinhua.

Di bandar Yangjiang, wartawan AFP melaporkan objek berterbangan, pokok tumbang serta kerosakan harta benda.

Perkhidmatan kereta api dihentikan manakala ratusan penerbangan dibatalkan, menyebabkan stesen dan lapangan terbang lengang.

Kerajaan China memperuntukkan AS$49.2 juta bagi operasi menyelamat dan bantuan kecemasan.

Sekurang-kurangnya 10 bandar menutup sekolah dan perniagaan, menjejaskan puluhan juta penduduk di wilayah selatan negara itu.

Di Hong Kong, lebih 860 orang berlindung di pusat pemindahan sementara manakala 90 cedera. Bandar raya itu merekodkan ratusan pokok tumbang, banjir kilat serta kerosakan pada bangunan tinggi.

Sementara itu, Macau turut dilanda banjir hingga memaksa pihak berkuasa memutuskan bekalan elektrik di kawasan rendah.

Di Filipina, lapan orang dilaporkan maut termasuk tujuh nelayan selepas Ragasa membadai utara negara itu.

Pakar klimatologi memberi amaran ribut tropika semakin kuat akibat perubahan iklim berpunca daripada pemanasan global.

Keadaan itu meningkatkan risiko bencana besar di rantau Asia Pasifik, terutama negara pesisir pantai. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN