fb fb fb fb fb

Wanita Afghanistan bantah arahan pakai 'Burqa'

KABUL, 10 Mei- Sebilangan wanita di Afghanistan membantah perintah baharu Taliban yang mengarahkan golongan itu menutup penuh seluruh badan termasuk muka apabila berada di khalayak ramai.

Penunjuk perasaan berkumpul di tengah-tengah bandar Kabul sambil melaungkan 'keadilan' akibat rasa tidak puas hati susulan arahan tersebut yang mengesyorkan mereka memakai pakaian tradisi dikenali 'Burqa'.

"Burqa bukan hijab kami," kata salah seorang penunjuk perasaan yang membantah supaya mereka dibenarkan mengenakan hijab biasa yang tidak terlalu menyekat.

"Kami mahu hidup sebagai seorang manusia, bukan seperti haiwan yang ditambat di tepi rumah," teriak seorang lagi penunjuk perasaan, Saira Sama Alimyar.

(Sebahagian penunjuk perasaan yang membantah arahan memakai 'Burqa' ke atas wanita Afghanistan / Foto AFP)

Bagaimanapun perarakan singkat itu dihentikan oleh pejuang Taliban yang turut menghalang wartawan daripada membuat liputan.

Pada Sabtu, pemimpin tertinggi Afghanistan dan ketua Taliban, Hibatullah Akhundzada, mengumumkan kod pakaian yang ketat untuk wanita apabila mereka berada di khalayak ramai.

Akhundzada juga mengarahkan pihak berkuasa memecat kakitangan kerajaan wanita yang tidak mematuhi kod pakaian baharu, dan menggantung pekerja lelaki jika isteri dan anak perempuan mereka gagal mematuhinya.

Dekri Akhundzada turut menyatakan, wanita yang tidak mempunyai urusan penting di luar perlu duduk di rumah.- AFP

Media Baharu