PUERTO PLATA, 27 Jun- Pemain besbol profesional Dominican, Wander Franco didapati bersalah atas pertuduhan mencabul seorang remaja bawah umur.
Dia dijatuhi hukuman penjara dua tahun secara tangguh oleh sebuah mahkamah di Republik Dominican, pada Khamis.
Franco, 24, yang merupakan bekas pemain posisi "shortstop" bagi pasukan Major League Baseball (MLB), Tampa Bay Rays, turut dikenakan denda bersamaan 10 kali gaji minimum negara itu.
Namun, beliau akan mengelak daripada menjalani hukuman penjara sekiranya mematuhi syarat-syarat tertentu yang ditetapkan oleh mahkamah.
Pendakwa raya memaklumkan bahawa Franco menjalin hubungan dengan seorang gadis berusia 14 tahun atas persetujuan ibu mangsa.
Kesalahan itu didakwa berlaku di Republik Dominican dan melibatkan pembayaran serta pengurusan perjalanan yang dianggap sebagai satu bentuk eksploitasi.
Dalam prosiding yang sama, ibu mangsa turut disabitkan bersalah dan dihukum penjara 10 tahun serta didenda bersamaan 30 kali gaji minimum.
Franco telah disiasat sejak Ogos 2023 dan dikenakan cuti pentadbiran oleh MLB.
Beliau, yang sebelum ini dianggap sebagai antara prospek muda paling berbakat dalam sukan besbol, pernah menandatangani lanjutan kontrak selama 11 tahun bernilai AS$182 juta bersama Tampa Bay Rays pada tahun 2021.
Sejak dikenakan cuti, beliau tidak lagi beraksi dalam liga utama.- REUTERS