TEHRAN, 27 Jun- Iran menegaskan bahawa tiada sebarang perancangan untuk mengadakan pertemuan dengan Amerika Syarikat (AS), sekali gus menafikan kenyataan Presiden AS, Donald Trump bahawa rundingan akan diadakan minggu depan.
Perkara tersebut dinyatakan Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi dalam satu wawancara bersama televisyen negara pada Khamis.
Tambah Araqchi, Tehran masih menilai sama ada sebarang perbincangan dengan Washington memberi manfaat kepada kepentingan Iran, susulan lima pusingan rundingan terdahulu yang terhenti selepas kemudahan nuklear Iran diserang oleh AS dan Israel.
Washington dan Tel Aviv mendakwa serangan tersebut bertujuan menyekat keupayaan Iran untuk membangunkan senjata nuklear.
Namun, Iran bertegas bahawa program nuklearnya adalah semata-mata untuk tujuan kegunaan awam.
"Kerugian terhadap tapak-tapak nuklear bukanlah kecil," kata Araqchi.
Beliau turut menjelaskan bahawa pihak berkuasa berkaitan sedang menilai semula keadaan semasa program nuklear negara itu, yang akan menjadi asas kepada pendirian diplomatik Iran pada masa hadapan.- REUTERS