fb fb fb fb fb

Vietnam tahan wartawan bebas, Huy Duc berhubung kenyataan di Facebook

Foto fail Truong Huy San atau dikenalai sebagai Huy Duc/AFP

BANGKOK, 8 Jun- Pihak berkuasa di Vietnam menahan seorang wartawan bebas terkemuka kerana 'menyalahgunakan kebebasan demokrasi' dengan menyiarkan artikel menerusi Facebook, kata polis pada Sabtu.

Huy Duc telah ditahan untuk siasatan kerana disifatkan 'mencabuli kepentingan Negara, hak sah dan kepentingan organisasi dan individu', kata Kementerian Keselamatan Awam Vietnam.

Bekas leftenan kanan berusia 62 tahun itu pernah bekerja untuk beberapa akhbar berpengaruh di Vietnam sebelum dipecat pada 2009 kerana mengkritik bekas sekutu komunis negara itu.

Sejurus sebelum penahanannya, Duc menyasarkan Presiden baharu Vietnam To Lam, serta Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam Nguyen Phu Trong, dan individu paling berkuasa dalam sistem politik negara itu.

Peguam Tran Dinh Trien ditahan bersama-sama Duc atas pertuduhan sama.

Parti Komunis Vietnam menyekat kebebasan bersuara, dan Reporters Without Borders (RSF) meletakkannya negara itu pada keduduka ke-174 daripada 180 negara untuk kebebasan akhbar. Negara itu juga disifatkan sebagai salah satu penjara wartawan yang paling teruk di dunia.

Blog Duc, merupakan salah satu blog yang paling popular di Vietnam berikutan komen yang diberikan terhadap kerajaan dalam pelbagai isu termasuk kawalan media, hubungan dengan China dan rasuah.

Duc, atau nama sebenarnya Truong Huy San, mendapatkan pendidikan di Universiti Harvard pada tahun 2012. Semasa berada di luar negara, kisah hidupnya di Vietnam selepas tamat perang dengan Amerika Syarikat, 'The Winning Side' , telah diterbitkan.

Bagaimanapun RSF menggesa Duc dibebaskan.

"Artikel wartawan bebas Huy Duc adalah sumber maklumat yang tidak ternilai yang membolehkan orang ramai Vietnam mengakses maklumat yang ditapis oleh rejim Hanoi," kata Pengarah Biro Asia-Pasifik RSF Cedric Alviani dalam satu kenyataan.

Pejuang hak asasi berkata, kerajaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah meningkatkan tindakan keras terhadap masyarakat awam, manakala beribu-ribu penduduk, termasuk beberapa pemimpin kanan kerajaan dan perniagaan, telah terperangkap dalam kempen anti-rasuah besar-besaran.

“Tiada negara boleh membangun secara mampan berdasarkan ketakutan,” tulis Duc di Facebook pada Mei.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI