fb fb fb fb fb

Vietnam kaji semula kadar tarif import dari AS

Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh

HANOI, 14 Mac  - Vietnam sedang mengkaji semula kadar tarif import terhadap barangan dari Amerika Syarikat bagi menggalakkan peningkatan import produk penting seperti gas asli cecair (LNG), produk pertanian dan teknologi tinggi, menurut kenyataan kerajaan pada Khamis.

Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh, memberitahu Duta Besar AS, Marc Knapper, bahawa langkah itu juga bertujuan menangani kebimbangan Amerika Syarikat mengenai hubungan perdagangan antara kedua-dua negara.

Vietnam kini menjadi negara ketiga dengan defisit dagangan tertinggi dengan Amerika Syarikat, selepas China dan Mexico, sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa ia mungkin menjadi sasaran tarif baharu di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump.

Dalam pertemuan pada Khamis, Chinh memaklumkan bahawa Vietnam sedang berusaha memperbaiki hubungan perdagangan dengan Amerika Syarikat dan telah menghantar Menteri Perindustrian dan Perdagangan, Nguyen Hong Dien, ke Washington untuk rundingan lanjut.

Dien bertemu dengan Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer, yang menekankan keperluan Vietnam untuk membuka lebih banyak peluang pasaran dan mengurangkan defisit perdagangan.

Menurut laporan kerajaan, Vietnam komited untuk membangunkan hubungan ekonomi dan perdagangan yang lebih seimbang serta mampan dengan Amerika Syarikat.

Pada 2024, defisit perdagangan Amerika Syarikat dengan Vietnam meningkat lebih 18 peratus kepada AS$123.5 bilion, menjadikan Amerika Syarikat pasaran eksport terbesar Vietnam. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN