fb fb fb fb fb

Banjir selatan Thailand ragut 13 nyawa, 2 juta penduduk terjejas

Foto AFP

HAT YAI, 25 November – Banjir besar yang melanda sembilan wilayah di selatan Thailand mengorbankan 13 nyawa dan hampir dua juta penduduk terjejas, menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara pada Selasa.

Banjir yang berpunca daripada kenaikan paras air sejak hujung minggu lalu telah menjejaskan rutin harian penduduk di wilayah Surat Thani, Nakhon Si Thammarat, Trang, Phatthalung, Satun, Songkhla, Pattani, Yala dan Narathiwat.

Pihak berkuasa tempatan turut mengarahkan pemindahan di kawasan rendah bagi mengurangkan risiko kerugian susulan hujan lebat yang masih berterusan.

Pada Isnin, arahan pemindahan penuh dikeluarkan bagi semua kawasan berisiko di bandar Hat Yai selepas paras air banjir kembali naik pada sebelah petang, memaksa pasukan tentera dan penyelamat dikerah membantu operasi.

Sementara itu, Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, mengarahkan penubuhan pusat arahan hadapan di Songkhla sebagai langkah segera menangani situasi banjir tersebut.

Manakala, Timbalan Perdana Menteri, Thammanat Prompao, mengarahkan semua agensi berkaitan menyediakan anggota, kelengkapan dan bantuan kecemasan bagi membantu mangsa yang terjejas.- REUTERS

ROSLINA BINTI DIN