fb fb fb fb fb

12 cedera ringan, pesawat American Airlines terbakar ketika mendarat

Pesawat Boeing 737-800 yang membawa 172 penumpang/Foto orang awam

 WASHINGTON, 14 Mac - Seramai 12 orang cedera selepas sebuah pesawat American Airlines terbakar sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Denver, Colorado, menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat.

Pesawat Boeing 737-800 yang membawa 172 penumpang dan enam anak kapal itu dalam penerbangan dari Colorado ke Dallas-Fort Worth sebelum terpaksa dilencongkan ke Denver selepas kru melaporkan mengalami gegaran pada enjin.

Menurut kenyataan Lapangan Terbang Antarabangsa Denver di platform media sosial X, semua penumpang berjaya dipindahkan dengan selamat.

Namun 12 individu mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Rakaman video yang tersebar luas di media sosial menunjukkan kepulan asap tebal menyelubungi pesawat.

Manakala beberapa penumpang dilihat berdiri di atas sayap sambil menunggu bantuan kecemasan.

FAA dalam satu kenyataan berkata, pesawat itu mengalami kebakaran enjin selepas mendarat dan sedang bergerak menuju ke pintu ketibaan.

"Sebaik sahaja mendarat, api mula marak dari salah satu enjin dan penumpang segera dipindahkan menggunakan gelongsor kecemasan," menurut kenyataan itu.

Insiden ini menambah kebimbangan terhadap isu keselamatan penerbangan, khususnya selepas beberapa kejadian membabitkan pesawat dalam tempoh kebelakangan ini.

FAA mengesahkan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran. - AFP


BERITA BERKAITAN

GRACE AISYAH KEDAYAN