fb fb fb fb fb

Enjin pesawat American Airlines terbakar selepas mendarat di Denver

FOTO AFP

WASHINGTON, 14 Mac- Sebuah pesawat American Airlines jenis Boeing 737-800 mengalami kebakaran enjin selepas mendarat cemas di Denver pada Khamis, memaksa penumpang dipindahkan menggunakan gelongsor kecemasan, menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA).

Penerbangan American Airlines 1006 dari Colorado Springs sepatutnya menuju ke Dallas namun terpaksa dilencongkan ke Denver sekitar pukul 5.15 petang selepas kru melaporkan getaran pada enjin.

Beberapa rakaman dramatik di media sosial memaparkan penumpang berdiri di sayap pesawat sebelum dipindahkan, dengan asap tebal kelihatan keluar dari enjin.

Menurut kenyataan American Airlines, "Selepas mendarat dengan selamat dan bergerak ke pintu masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Denver (DEN), Penerbangan 1006 mengalami isu berkaitan enjin."

"Seramai 172 penumpang dan enam anak kapal telah keluar dari pesawat dan dipindahkan ke terminal. Kami berterima kasih kepada kru, pasukan Denver dan pihak berkuasa kerana bertindak pantas demi keselamatan semua yang terlibat," tambah kenyataan itu.

FAA memaklumkan siasatan terhadap insiden ini sedang dijalankan.

Sementara itu, Boeing enggan memberi komen dan mengarahkan sebarang pertanyaan dikemukakan kepada American Airlines dan pihak penyiasat.

Kejadian tersebut berlaku susulan beberapa insiden penerbangan berprofil tinggi di Amerika Syarikat, termasuk pertembungan udara pada 29 Januari antara jet American Airlines dan helikopter tentera yang mengorbankan 67 nyawa.- REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE