fb fb fb fb fb

Venezuela, Rusia tandatangan perjanjian pertahanan dan tenaga

Presiden Venezuela Nicolas Maduro (kanan) berjabat tangan dengan Timbalan Perdana Menteri Rusia Dmitry Chernishenko di Caracas pada 7 November 2024 / FOTO AFP

CARACAS, 8 November- Venezuela dan sekutu paling kuatnya, Russia, telah menandatangani perjanjian pada Khamis yang merangkumi pengumpulan maklumat risikan dan antiperisikan, serta kerjasama dalam sektor tenaga semasa lawatan seorang pegawai kanan Kremlin ke Caracas.

Timbalan Perdana Menteri Russia, Dmitry Chernyshenko memberitahu Naib Presiden Venezuela Delcy Rodriguez, bahawa negaranya bersedia menyokong angkatan bersenjata Venezuela dengan “senjata dan peralatan ketenteraan paling canggih," menurut terjemahan yang disiarkan oleh televisyen kerajaan Venezuela.

Kedua-dua negara bersetuju untuk bekerjasama dalam bidang termasuk isu risikan dan antiperisikan, penggunaan dron serta teknologi penerokaan petroleum, menurut moderator perbincangan tersebut.

Russia adalah antara negara yang mengiktiraf tuntutan pemimpin sosialis Nicolas Maduro yang mendakwa telah memenangi penggal ketiga berturut-turut dalam pilihan raya pada 28 Julai.

Amerika Syarikat dan beberapa negara Amerika Latin telah menyokong calon pembangkang, Edmundo Gonzalez Urrutia, sebagai pemenang sebenar berdasarkan keputusan terperinci pilihan raya yang diterbitkan oleh pihak pembangkang.

Pihak berkuasa pilihan raya Venezuela yang menyokong Maduro masih belum mengeluarkan perincian pecahan undi.

Caracas mula mendekati Moscow bawah pimpinan ikon sosialis, Hugo Chavez, yang memimpin negara itu dengan dasar anti-AS dari 1999 sehingga kematiannya akibat kanser pada 2013.

Hubungan tersebut kekal terjalin bawah pengganti pilihan Chavez, Maduro, yang telah mempertahankan tindakan Russia dalam pencerobohan ke atas Ukraine.

Venezuela memiliki simpanan minyak terbesar di dunia dan pernah menghasilkan lebih daripada tiga juta tong minyak sehari satu-satunya sumber pendapatan asing yang ketara.

Selepas bertahun-tahun pengurusan yang lemah dan sekatan ekonomi yang berat, pengeluaran kini menurun kepada kira-kira satu juta tong sehari.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE