SEOUL, 8 November- Dua anak kapal sebuah bot nelayan disahkan maut manakala 12 lagi dilaporkan hilang pada Jumaat selepas kapal tersebut karam di perairan pulau Jeju, Korea Selatan, menurut pengawal pantai.
Lima belas anak kapal berjaya diselamatkan, termasuk dua yang dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia kemudian.
"Operasi menyelamat masih dijalankan dan kami sedang berusaha sedaya upaya," kata pengawal pantai kepada AFP.
Pengawal pantai menerima panggilan kecemasan pada pukul 4:33 pagi Jumaat melaporkan bahawa bot nelayan seberat 129 tan itu sedang tenggelam.
Anak kapal memberitahu pengawal pantai bahawa bot tersebut tiba-tiba terbalik dan tenggelam semasa tangkapan dipindahkan ke kapal pengangkut.
Pada waktu kejadian, dua anak kapal berada di dalam bot manakala selebihnya berada di dek.
Insiden itu berlaku kira-kira 24 kilometer (15 batu) dari Biyang, sebuah pulau kecil yang terletak berhampiran pulau Jeju.
Bot nelayan tersebut berdaftar dengan 27 anak kapal, termasuk 16 rakyat Korea Selatan dan 11 warga asing, dengan dua daripada mereka adalah antara yang hilang, menurut pengawal pantai kepada media tempatan.
Presiden Yoon Suk Yeol telah mengarahkan semua sumber dan anggota yang ada untuk dikerahkan dalam operasi menyelamat, menurut kenyataan pejabatnya.
Pengawal pantai telah menghantar 18 kapal dan lima pesawat ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat.
Tentera laut turut menghantar enam kapal tambahan, sebuah pesawat rondaan dan sebuah helikopter.-AFP