fb fb fb fb fb

Venezuela, Colombia buka semula sempadan kepada kenderaan kargo

(Delegasi Colombia,Venezuela, dan Presiden Colombia Gustavo Petro bertemu di Jambatan
Antarabangsa Simon Bolivar untuk pembukaan semula sempadan secara komersial / Foto Reuters)

COLOMBIA, 27 September- Colombia dan Venezuela membuka semula pengangkutan kargo di persimpangan sempadan utama pada Isnin. Ia berikutan penutupan separa selama tujuh tahun, termasuk tempoh tiga tahun laluan itu ditutup sepenuhnya kerana perbalahan politik.

Pembukaan semula itu yang akan membolehkan barangan seperti arang batu, kertas tandas dan buah-buahan dihantar melalui persimpangan antara bandar Cucuta di Colombia dan negeri Tachira di Venezuela. Langkah pembukaan itu merupakan janji utama Presiden berhaluan kiri Colombia yang baharu, Gustavo Petro.


(Sebuah trak dengan kargo eksport,semasa pembukaan semula komersil sempadan / Foto Reuters)

Petro menyeberangi jambatan Simon Bolivar dengan berjalan kaki pada Isnin, berdiri di sebelah Venezuela bersama dutanya ke Caracas Armando Benedetti, duta Venezuela ke Colombia Felix Plasencia, Menteri Pengangkutan Venezuela dan pegawai lain sambil mendengar kumpulan tentera memainkan lagu kebangsaan masing-masing.

Presiden Colombia Gustavo Petro dan wakil pemimpin kerajaan Venezuela Nicolas Maduro turut hadiri pada majlis tersebut.

"Kami menyambung semula hubungan dan mengambil langkah tegas untuk memajukan pembukaan sempadan secara menyeluruh dan mutlak antara rakyat bersaudara," kata Maduro di Twitter.

"Ia adalah hari bersejarah," katanya.

Petro memberitahu wartawan tiada tarikh ditetapkan untuk pertemuan pertamanya dengan Presiden Venezuela Nicolas Maduro.

Sebuah trak sarat dengan muatan aluminium dan dihiasi dengan bendera serta belon merah, kuning dan biru adalah kenderaan pertama melintasi sempadan dari Tachira ke Colombia.

Trak pertama bergerak dari Colombia ke Venezuela, satu daripada empat milik syarikat Transporte Condor, membawa bekalan perubatan. Trak tersebut meninggalkan San Antonio del Tachira di sebelah sempadan Venezuela sejurus selepas tengah hari dan menyeberangi jambatan Simon Bolivar ke Cucuta di Colombia.

Empat daripada trak syarikat itu juga bersedia untuk memindahkan kertas tandas, gelas plastik dan tekstil bernilai kira-kira AS$80,000, kata pengurus Diego Bohorquez.

Trak kargo boleh menyeberang setiap hari antara 10.00 pagi (1400 GMT) dan 5.00 petang, jelas menteri pengangkutan Venezuela Ramon Velasquez semasa taklimat berasingan, manakala lintasan pejalan kaki akan bermula lebih awal.

Sempadan itu sudah dibuka kepada pejalan kaki, menyaksikan ramai rakyat Venezuela menyeberang untuk membeli barangan asas kerana negara mereka mengalami krisis ekonomi yang berpanjangan.

Peniaga di kedua-dua belah sempadan sepanjang 2,219km (1,380 batu) telah menunggu dengan penuh harapan untuk normalisasi, perdagangan terbuka yang diharapkan akan membolehkan mereka mengakses bahan mentah dan pelanggan baharu.

Pada 2008, perdagangan dua hala berjumlah AS$7 bilion, sebelum presiden Venezuela ketika itu Hugo Chavez membekukannya untuk membantah perjanjian ketenteraan Bogota-Washington.

Caracas memutuskan hubungan dengan Bogota pada 2019 selepas aktivis pembangkang Venezuela cuba menghantar trak bantuan dari Colombia. Kerajaan Maduro berkata ia adalah medan untuk cubaan rampasan kuasa.

Kerajaan terdahulu di Bogota menuduh Maduro melindungi kumpulan pemberontak dan penjenayah Colombia, tuduhan yang dinafikannya.

Kedua-dua negara telah berkata penerbangan antara ibu kota mereka juga akan dimulakan semula, tetapi sekatan AS terhadap syarikat penerbangan negara Venezuela Conviasa telah menangguhkan mereka.- REUTERS

Media Baharu