WASHINGTON,22 Mac- Utusan Asia Barat Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, Steve Witkoff, berkata pemimpin itu sedang berusaha mengelakkan konflik bersenjata dengan Iran dengan membina kepercayaan bersama Tehran.
Dalam temu bual bersama penyampai berita dalam talian, Tucker Carlson, yang disiarkan di platform X pada Jumaat, Witkoff menegaskan bahawa surat yang dihantar Trump kepada kerajaan Iran tidak bertujuan sebagai ancaman.
Hubungan antara Amerika Syarikat dan Iran sememangnya tegang sejak sekian lama dan semakin meruncing susulan serangan terbaharu Israel ke atas Gaza serta ancaman kepada kapal dagang di perairan antarabangsa oleh kumpulan Houthi di Yaman yang disokong Iran.
Pada 7 Mac lalu, Trump mengesahkan beliau telah menulis kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, bagi menggesa rundingan semula berhubung program nuklear negara itu.
Namun, Khamenei dalam ucapan yang disiarkan di televisyen pada Jumaat menegaskan bahawa sebarang ancaman daripada Amerika Syarikat tidak akan membawa hasil dalam berdepan dengan Iran.
Witkoff, yang mempertahankan langkah Trump itu, berkata pemimpin AS tersebut mempunyai kelebihan ketenteraan, namun memilih untuk memberi keutamaan kepada pendekatan diplomatik.
"Sebaliknya, beliau (Trump) sendiri yang mengambil inisiatif ini," katanya.
"Isi surat itu secara kasar berbunyi: 'Saya seorang presiden yang cintakan keamanan. Itu yang saya mahukan. Tidak ada keperluan untuk kita menyelesaikan perkara ini dengan ketenteraan. Kita patut berbincang,'" jelas Witkoff.
Menurut beliau, surat tersebut turut mengusulkan mekanisme pengesahan bagi memastikan bahan nuklear Iran tidak digunakan untuk tujuan ketenteraan, kerana alternatifnya adalah sesuatu yang tidak diingini.
Tambahnya lagi, perbincangan antara Washington dan Tehran masih diteruskan menerusi saluran belakang, melalui pelbagai negara dan pelbagai perantara.
"Trump bersedia untuk membuka peluang bagi memperbaiki hubungan dengan Iran, supaya mereka kembali diterima dunia dan menjadi sebuah negara yang hebat sekali lagi... Beliau mahu membina kepercayaan dengan mereka," kata Witkoff.-AFP