fb fb fb fb fb

Rawatan sel stem bantu pulihkan kecederaan saraf tunjang: Saintis Jepun

FOTO HIASAN

TOKYO, 22 Mac- Rawatan menggunakan sel stem berjaya meningkatkan fungsi motor dua daripada empat pesakit yang mengalami kecederaan saraf tunjang dalam kajian klinikal pertama seumpamanya, menurut saintis Jepun.

Ketika ini, tiada rawatan berkesan untuk lumpuh akibat kecederaan serius pada saraf tunjang, yang menjejaskan lebih 150,000 pesakit di Jepun dengan kira-kira 5,000 kes baharu setiap tahun.

Penyelidik di Universiti Keio, Tokyo, menjalankan kajian mereka menggunakan sel stem pluripoten teraruh (iPS) yang diperoleh dengan merangsang sel matang untuk kembali kepada keadaan juvenil sebelum diprogramkan menjadi pelbagai jenis sel lain.

Dalam kajian itu, pasukan penyelidik menggunakan sel yang diperoleh daripada iPS untuk menghasilkan sel stem saraf.

Menurut universiti itu pada Jumaat, dua daripada pesakit menunjukkan peningkatan dalam skor fungsi motor selepas menjalani pembedahan untuk menanam lebih dua juta sel stem saraf ke dalam saraf tunjang mereka.

Tiada kesan sampingan serius dikesan dalam kesemua empat pesakit selepas pemantauan selama setahun, tambah mereka.

Tujuan utama penyelidikan tersebut adalah untuk mengkaji keselamatan suntikan sel berkenaan.

Menurut penyiar awam NHK, salah seorang pesakit yang mengalami peningkatan adalah seorang lelaki warga emas yang mengalami kecederaan akibat kemalangan.

Beliau kini boleh berdiri tanpa bantuan dan mula berlatih berjalan, lapor NHK.

"Kami berjaya mencapai keputusan dalam rawatan saraf tunjang pertama di dunia menggunakan iPS," kata Profesor Hideyuki Okano dari Universiti Keio yang mengetuai penyelidikan itu.

Pasukan beliau berharap untuk meneruskan ujian klinikal seterusnya sebagai langkah membawa rawatan ini kepada pesakit secara meluas.

Universiti Keio menerima kelulusan kerajaan untuk kajian awal pada 2019, dan pembedahan pertama dijalankan pada 2022.

Butiran pesakit dirahsiakan, tetapi kajian tertumpu kepada mereka yang mengalami kecederaan dalam tempoh 14 hingga 28 hari sebelum pembedahan dijalankan.

Jumlah sel yang ditanam pula ditentukan selepas eksperimen keselamatan ke atas haiwan.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE