fb fb fb fb fb

Usir Konsulat ; Hubungan Sudan-UAE kian tegang

Foto AFP

PORT SUDAN, 18 Mei – Kerajaan Sudan mendakwa Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengusir kakitangan konsulatnya di Dubai, sekali gus menambah ketegangan dua hala selepas Khartoum memutuskan hubungan diplomatik dengan negara Teluk itu awal bulan ini.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Sudan, kebanyakan kakitangan Konsulat Sudan di Dubai telah diusir tanpa sebab rasmi dan ditahan selama lapan jam di Lapangan Terbang Dubai untuk disoal siasat.

"Insiden ini mencerminkan sikap tidak menghormati UAE terhadap kewajipan antarabangsa dan niat untuk menyakiti rakyat Sudan yang berada di sana," jelas kenyataan tersebut.

Khartoum sebelum ini menuduh UAE membekalkan senjata kepada kumpulan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) yang memberontak melawan tentera kerajaan sejak April 2023.

Meski kerap dinafikan UAE, beberapa laporan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan badan antarabangsa menyatakan sebaliknya.

Konflik yang kini memasuki tahun ketiga, telah mengorbankan puluhan ribu nyawa, menyebabkan 13 juta orang hilang tempat tinggal dan mencetuskan krisis kemanusiaan paling teruk di dunia. - AFP

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN