KABUL, 28 Februari- Pusat sehenti untuk menyelaraskan semua usaha bantuan Malaysia di Afghanistan yang dibuka secara rasmi minggu lepas, setakat ini telah membantu menyelaraskan pengagihan makanan dan bantuan lain kepada keluarga miskin di Kabul dan Jalalabad, di wilayah Nangarhar yang bergolak.
Pusat Kemanusiaan Malaysia (MHC) dikendalikan oleh yayasan amal Global Peace Mission Malaysia (GPM) dengan tiga kumpulan bantuan Malaysia yang lain – MyCare, Global Wakaf, Global Ikhwan – dan empat NGO tempatan – Ehsas Welfare and Social Service Organisation, Humanitarian Assistance Society, Persatuan Kebajikan Afghanistan dan Just for Afghan Capacity and Knowledge (JACK).
Ketua Pegawai Eksekutif GPM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin memberitahu Bernama kumpulan itu memutuskan untuk menubuhkan pusat sehenti itu tahun lepas bagi menyelaras usaha bantuan oleh kumpulan Malaysia yang mungkin tidak biasa dengan Afghanistan.
“Afghanistan adalah sebuah negara yang besar. Kabul adalah pusat kami. Mereka perlu mendaftar masuk di pusat itu terlebih dahulu sebelum ke tempat lain seperti Kunduz, atau Mazar-e Sharif, Herat dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata, pejabat itu akan membantu menjejaki jumlah rakyat Malaysia yang semakin meningkat selepas kejatuhan kerajaan Ashraf Ghani yang disokong AS pada Ogos tahun lepas. Malaysia tidak mempunyai kedutaan di Afghanistan.
Usaha penyelarasan bantuan adalah penting terutamanya untuk memastikan semua kumpulan Malaysia membawa impak ke atas komuniti dan kawasan yang mereka kunjungi untuk memberi bantuan. Beliau menambah GPM mempunyai pengalaman berdekad-dekad di negara Asia Tengah itu untuk tugas sedemikian.
Ketua Pemantauan, Penilaian dan Penyelidikan JACK, Dr Abdullah Asady dalam mengalu-alukan objektif pusat itu berkata, Afghanistan tidak boleh wujud dengan bergantung kepada bantuan kemanusiaan untuk tempoh yang lama.
“Ia tidak boleh bertahan kerana campur tangan kebajikan tidak berdasarkan kapasiti domestik rakyat. Geran dan campur tangan amal tidak dapat mengekalkan (kami) lagi,” katanya.
Kumpulannya menyediakan pendidikan, bantuan kemanusiaan dan kesihatan untuk warga Afghanistan, terutama mereka yang berada di kawasan yang sukar dijangkau.
Afghanistan mengalami krisis kemanusiaan selepas Taliban mengambil alih tahun lalu, berikutan pengunduran tergesa-gesa AS dan NATO. Masyarakat antarabangsa tidak mengiktiraf pentadbiran pertubuhan itu dan membekukan aset dan dana yang dijanjikan untuk membina semula negara. Program Makanan Sedunia PBB menjangkakan 95% penduduk Afghanistan akan berada di bawah paras kemiskinan dalam beberapa bulan jika keadaan itu berterusan.
Berita penubuhan MHC menimbulkan kekeliruan seminggu yang lalu apabila sarjana AS, Aaron Y. Zelin dari Institut Washington tersilap dalam ciapan Twitternya bahawa pusat itu adalah pejabat kerajaan Malaysia untuk "bantuan dan kerjasama ekonomi".
Membuka pejabat kerajaan di Afghanistan boleh dilihat sebagai mengiktiraf kerajaan pimpinan Taliban secara rasmi dan Malaysia sangat berhati-hati dan cuba mengelaknya. -BERNAMA