NEW DELHI, 28 Februari- Usaha India untuk memindahkan warganya dari Ukraine terjejas oleh kerana keadaan tidak menentu di lintasan sempadan berikutan konflik Ukraine-Rusia yang sedang berlaku.
Beribu-ribu rakyat India, kebanyakannya pelajar yang terkandas di Ukraine sedang berusaha memasuki negara jiran untuk mendapatkan penerbangan membawa mereka keluar.
"Usaha pemindahan kami terjejas akibat situasi yang kompleks dan tidak menentu di lintasan sempadan," kata Perwakilan Tetap India ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, T.S. Tirumurti, dalam satu kenyataan semalam.
"Adalah penting untuk mengekalkan pergerakan lancar orang dan yang boleh diharapkan. Ia keperluan kemanusiaan yang mendesak yang mesti ditangani segera," katanya.
Kira-kira 20,000 warga India tinggal di Ukraine dan 4,000 daripada mereka sudah keluar beberapa hari sebelum konflik memuncak secara mendadak pada Khamis.
Beratus-ratus lagi dipindahkan melalui negara lain sejak Ukraine menutup ruang udaranya kepada penerbangan awam minggu lalu.
"Berdasarkan maklumat terkini, pertempuran sengit sedang berlaku di Kharkiv, Sumy, dan Kyiv. Ditegaskan lagi, warga India di bandar-bandar ini dan bandar-bandar lain di mana sahaja perintah berkurung telah dikenakan, dinasihatkan untuk tidak pergi ke stesen kereta api sehingga perintah berkurung ditamatkan dan pergerakan beramai-ramai dibenarkan," kata Kedutaan India di ibu kota Kyiv dalam satu nasihat semalam.
Beberapa pelajar yang terkandas telah menyiarkan video di media sosial menggambarkan keadaan terdesak mereka.