fb fb fb fb fb

Uruguay bimbang ketegangan meningkat di Caribbean akibat tindakan AS

Menteri Luar Uruguay, Mario Lubetkin

MONTEVIDEO, 11 Disember - Uruguay menyuarakan kebimbangan terhadap ketegangan yang semakin meningkat di Caribbean berikutan penempatan ketenteraan Amerika Syarikat (AS), kata Menteri Luar Uruguay, Mario Lubetkin, pada Rabu.

Menteri Luar Uruguay, Mario Lubetkin menegaskan, negaranya berusaha meredakan ketegangan dengan apa cara sekalipun kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak, Amerika Syarikat, Venezuela, Colombia mahupun Uruguay sendiri.

“Sebarang ketegangan di rantau ini bukan sahaja menjejaskan negara terlibat tetapi seluruh Caribbean,” katanya.

Langkah Presiden AS, Donald Trump meletakkan kapal perang berhampiran Venezuela menyusuli beberapa serangan terhadap kapal-kapal di Lautan Pasifik Timur dan Laut Caribbean, telah meragut sekurang-kurangnya 87 nyawa dalam sekurang-kurangnya 22 serangan.

Washington mendakwa pemimpin Venezuela, Nicolas Maduro, mengetuai kartel dadah yang dinafikannya.

Maduro sebaliknya menuduh AS berhasrat menukar pemerintahan negara itu sekali gus menguasai simpanan minyak.

Terbaharu pada Rabu, tentera AS telah menahan sebuah kapal tangki minyak Venezuela dengan anggota tentera menuruni dek kapal dari helikopter dan memasuki kapal sambil membawa senjata.

Uruguay, yang terletak antara Brazil dan Argentina, berhasrat membantu menstabilkan rantau itu.

“Isu penyeludupan dadah bukan isu Venezuela atau Colombia sahaja, ia melibatkan kita semua kerana ia telah meningkat dan mewujudkan senario ketidakstabilan,” katanya.-AFP

AZRUL FAIZAL JUSOH