MRAUK U, 11 Disember - Seramai 31 orang terkorban dalam serangan udara tentera Myanmar ke atas sebuah hospital di Mrauk-U, barat negeri Rakhine, pada Rabu malam.
Serangan itu berlaku ketika junta melancarkan operasi ketenteraan besar menjelang pilihan raya yang dijadual bermula 28 Disember.
Wai Hun Aung, seorang petugas bantuan di tempat kejadian berkata, sebuah jet tentera telah membom hospital umum Mrauk-U di barat negeri Rakhine, bersempadan dengan Bangladesh.
"Keadaan sangat dahsyat, setakat ini, kami mengesahkan 31 kematian dan menjangkakan akan ada lebih ramai yang maut. Selain itu, terdapat 68 cedera dan bilangan itu akan terus meningkat," katanya
Sekurang-kurangnya 20 mayat yang dibalut kain kafan dapat dilihat di luar hospital pada waktu malam.
Jurucakap junta tidak dapat dihubungi untuk memberikan komen mengenai kejadian itu.
Pemantau konflik menyatakan bahawa serangan udara oleh tentera meningkat setiap tahun sejak rampasan kuasa tentera pada 2021.-AFP