NEW YORK, 26 September – Ketua Agensi Bantuan dan Kerja Raya Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini menegaskan pihaknya perlu menjadi sebahagian daripada usaha membangunkan semula Gaza pascaperang.
Beliau berkata, meskipun tidak dirunding dalam rancangan damai Amerika Syarikat untuk Gaza, UNRWA mempunyai kepakaran paling luas dalam bidang kesihatan asas dan pendidikan yang diperlukan masyarakat Palestin.
“UNRWA mempunyai 12,000 kakitangan di Gaza ketika ini. Setiap hari, mereka tetap berkhidmat menyediakan perkhidmatan kesihatan asas dan pendidikan meskipun berdepan cabaran besar,” katanya kepada AFP di New York.
Lazzarini berkata, cabaran utama ketika ini adalah mencapai gencatan senjata. Selepas itu, beberapa pelan antarabangsa termasuk Deklarasi New York yang disokong 142 negara boleh digerakkan untuk pemulihan Gaza.
Deklarasi berkenaan mengecam Hamas, menuntut ia menyerahkan senjata dan menyatakan semula komitmen terhadap penyelesaian dua negara sebagai jalan jangka panjang ke arah keamanan Israel-Palestin.
Sumber diplomatik memaklumkan, pelan damai AS merangkumi gencatan senjata kekal, pembebasan tebusan, pengunduran tentera Israel serta kemasukan besar-besaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Lazzarini menyokong kenyataan Presiden Palestin, Mahmud Abbas yang bersedia menempatkan Pihak Berkuasa Palestin di Gaza selepas gencatan senjata. Katanya, UNRWA mampu memperkukuh institusi melalui pendidikan dan kesihatan.
Walaupun Israel memboikot dan menggubal undang-undang menentang UNRWA, Lazzarini menegaskan agensinya tetap akan memainkan peranan penting dalam pentadbiran Gaza selepas perang.
“Keutamaan pada hari gencatan senjata ialah membawa kembali ratusan ribu kanak-kanak Palestin ke sekolah,” katanya.
Beliau turut mengecam penubuhan Gaza Humanitarian Foundation yang didokong AS dan Israel, menyifatkannya sebagai “perangkap maut” selepas ia didakwa gagal menangani kebuluran yang semakin meruncing di wilayah itu.
PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) sudah memainkan peranan penting dalam menyediakan bantuan untuk pelarian di Palestin sejak 1949.
UNRWA yang dibiayai hampir keseluruhannya menerusi sumbangan sukarela daripada pelbagai negara, sudah lama dikritik oleh Israel. - AFP