NEW YORK, 26 September - Presiden Peralihan Haiti, Laurent Saint-Cyr memberi amaran negaranya kini bergolak dengan peperangan apabila lebih sejuta rakyat menjadi pelarian akibat keganasan kumpulan samseng.
Berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Saint-Cyr berkata ribuan kanak-kanak kehilangan hak pendidikan, wanita menjadi mangsa rogol.
Beliau turut mendedahkan hampir separuh daripada populasi Haiti kini berdepan krisis kekurangan makanan akut.
Manakala sistem kesihatan negara itu hampir lumpuh apabila hospital ditutup dan dibakar selain doktor melarikan diri.
Beliau menegaskan komuniti antarabangsa mesti bertindak segera dan tegas.
Katanya, hanya 1,000 anggota misi antarabangsa berada di lapangan daripada 2,500 yang dijanjikan.
Jumlah itu masih gagal mengekang krisis keselamatan yang semakin meruncing di negara Caribbean tersebut.
Saint-Cyr turut menuntut Perancis mengambil langkah konkrit selepas mengiktiraf ketidakadilan bayaran tuntutan kemerdekaan - AFP