DHAKA, 26 September - Bangladesh merekodkan peningkatan harian tertinggi kes denggi tahun ini dengan 12 kematian dan 740 pesakit dimasukkan ke hospital dalam tempoh 24 jam hujung minggu lalu.
Lonjakan kes berpunca daripada hujan monsun lebat serta kelemahan kawalan nyamuk, sekali gus menjejaskan sistem kesihatan negara.
Wad Hospital Kolej Perubatan Mugda, Dhaka, dipenuhi pesakit, kebanyakannya dipasang kelambu nyamuk dan disambungkan kepada tiub intravena.
Seorang pesakit, Zakir Hossain, berkata beliau mengalami demam lima hari sehingga kiraan platelet menurun kepada 22,000 sebelum dirujuk untuk rawatan kecemasan.
Doktor Nurul Islam menegaskan pihak hospital berpengalaman merawat pesakit denggi namun menyeru orang ramai mengutamakan pencegahan.
“Pencegahan lebih baik daripada rawatan,” katanya.
Setakat ini, denggi meragut sekurang-kurangnya 179 nyawa dan menjangkiti lebih 42,000 orang di seluruh Bangladesh tahun ini.
Keadaan hospital yang sesak turut menimbulkan rungutan pesakit mengenai kebersihan tandas serta tempat pembuangan sampah yang tidak diselenggara dengan baik.
Pegawai kesihatan memberi amaran peningkatan kes lewat mendapatkan rawatan, terutama dalam kalangan belia dan kanak-kanak, sekali gus meningkatkan risiko kematian akibat jangkitan denggi. - VIORY