fb fb fb fb fb

Lantang kritik Trump, bekas pengarah FBI didakwa dua pertuduhan jenayah

Bekas Pengarah FBI, James Comey ketika menghadiri sesi diskusi dan pelancaran buku terbaharunya pada 19 Mei lalu/Foto AFP

WASHINGTON, 26 Septempber - Bekas Pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS), James Comey, yang juga pengkritik lantang Presiden Donald Trump, didakwa dua pertuduhan jenayah.

Pertuduhan berkenaan melibatkan dakwaan membuat kenyataan palsu dan menghalang keadilan berkaitan siasatan campur tangan Rusia dalam pilihan raya presiden 2016 yang dimenangi Trump.

Sepanjang penggal kedua Trump, Comey menjadi pengkritik utama dengan menuduh presiden menggunakan sistem keadilan untuk kepentingan politik.

Trump sebelum ini beberapa kali menolak dakwaan berhubung kaitan dengan Rusia, menyifatkan siasatan terdahulu sebagai “penipuan besar”.

Namun, laporan Kongres sebelum ini mengesahkan campur tangan Rusia dalam pilihan raya 2016.

Pendakwa raya persekutuan Lindsey Halligan berkata Comey berdepan hukuman maksimum lima tahun penjara jika sabit kesalahan.

Halligan merupakan bekas peguam peribadi Trump yang baru dilantik ke jawatan itu.

Peguam Negara Pam Bondi pula menegaskan tiada sesiapa kebal daripada undang-undang.

Comey, yang dipecat Trump pada 2017, menafikan sebarang salah laku menerusi video di Instagram dan berkata beliau “tidak takut” menghadapi tuduhan berkenaan. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN