fb fb fb fb fb

Gempa bumi gegarkan Venezuela dua hari berturut-turut

Gegaran terkuat dilaporkan di negeri Zulia yang bersempadan dengan Colombia apabila penduduk merasai sekurang-kurangnya tiga kali gempa/Foto AFP

CARACAS, 26 September - Venezuela digegarkan siri gempa bumi antara magnitud 6.2 dan 6.3 dua hari berturut-turut sehingga mencetuskan kebimbangan penduduk meskipun tiada korban jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Gegaran terkuat dilaporkan di negeri Zulia yang bersempadan dengan Colombia apabila penduduk merasai sekurang-kurangnya tiga kali gempa.

Manakala Caracas yang terletak kira-kira 700 kilometer dari wilayah itu turut bergoncang.

Menurut wartawan AFP, ramai penduduk Caracas bergegas turun ke jalan sekitar tengah malam selepas bangunan bergegar akibat gempa kuat dan berpanjangan, sekali gus mencetuskan suasana panik di beberapa kawasan bandar.

Naib Presiden Delcy Rodríguez berkata siri gegaran itu dikategorikan sebagai “enjambre sísmico”, iaitu rentetan gempa yang berlaku dalam tempoh singkat. Beliau mengesahkan tiada kehilangan nyawa direkodkan setakat ini.

Yayasan Penyelidikan Seismologi Venezuela (Funvisis) melaporkan dalam tempoh tujuh jam, sekurang-kurangnya 10 gempa utama dan 21 gegaran susulan berlaku dengan kekuatan antara magnitud 4.0 hingga 6.3.

Seorang penduduk Maracaibo, William Flores, 59, berkata beliau berasa pening akibat gegaran berulang. “Gegaran itu amat mengganggu, saya benar-benar tertekan,” katanya ketika ditemui AFP.

Penduduk lain, Elena Jiménez, 67, dari Zulia berkata tangki air rumahnya bergoyang hingga air melimpah keluar. “Saya tidak pernah merasakan gegaran sekuat ini sebelum ini,” ujarnya.

Gabenor Zulia, Luis Caldera berkata beberapa hospital dan sebuah gereja bersejarah di Maracaibo mengalami kerosakan ringan, namun tiada mangsa atau kecederaan dilaporkan setakat ini.

Gempa bumi itu merupakan yang terkuat sejak 2018 apabila gegaran magnitud 7.3 melanda Venezuela. Data rasmi menunjukkan hampir 80 peratus penduduk negara itu tinggal di kawasan berisiko tinggi ancaman seismik. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN