fb fb fb fb fb

UNICEF keluarkan tender kecemasan untuk perolehan vaksin mpox

Foto Hiasan: REUTERS

NEW YORK, 1 September- Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) telah mengeluarkan tender kecemasan untuk perolehan vaksin cacar monyet atau mpox dengan segera bagi membantu negara-negara paling terkesan dengan wabak itu ketika ini.

Ia dilaksanakan dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Pakatan Vaksin Global (GAVI) serta Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Afrika.

"Tender kecemasan ini bertujuan memastikan akses segera kepada vaksin mpox yang tersedia dan memperluaskan pengeluarannya.

"Perjanjian terbabit boleh mencecah 12 juta dos hingga 2025 dengan bergantung pada permintaan, kapasiti pengeluaran oleh pengeluar serta pembiayaan," menurut satu kenyataan bersama dikeluarkan oleh pihak berkenaan, semalam.

Langkah itu membolehkan UNICEF membeli dan menghantar terus vaksin tanpa lengah, sebaik sahaja mendapat pembiayaan, mengesahkan permintaan serta kesiapsiagaan, dan juga bersedia dari segi syarat kawal selia untuk menerima vaksin.

Selain itu, kerjasama berkenaan yang turut meliputi usaha bersama Pertubuhan Kesihatan Pan Amerika, akan memudahkan sumbangan vaksin daripada simpanan stok sedia ada di negara berpendapatan tinggi.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa WHO sedang meneliti maklumat dikemukakan oleh pengeluar vaksin pada 23 Ogos lalu, dan dijangka menyelesaikan semakan terbabit untuk penyenaraian kegunaan kecemasan menjelang pertengahan bulan ini.

Agensi itu sedang menyemak permohonan untuk lesen kecemasan untuk dua vaksin yang dibuat oleh Bavarian Nordic dan KM Biologic Jepun.

Pada 14 Ogos lalu, WHO mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global susulan lonjakan kes strain baharu mpox, Clade 1b, di Republik Demokraktik Congo (DRC) yang turut merebak ke negara-negara berdekatan.

Lebih 18,000 kes disyaki mpox termasuk 629 kematian telah dilaporkan di DRC, tahun ini hingga kini.

Sweden dan Thailand juga telah mengesahkan kes Clade Ib, sekali gus mencatat penularan strain virus itu di luar DRC dan negara-negara jirannya.- REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI