fb fb fb fb fb

UNESCO daftar Borshch dalam senarai warisan budaya Ukraine

(FOTO AFP)

KIEV, 3 Julai – Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) memasukkan sup borshch atau sup ubi bit yang merupakan hidangan kegemaran ramai di Ukraine ke dalam senarai warisan budaya terancam susulan desakan Kiev, namun ditentang oleh Moscow.

Hidangan sup masam itu berada dalam senarai khazanah budaya UNESCO yang memerlukan perlindungan segera.

“Keputusan ini diluluskan jawatankuasa UNESCO selepas melalui proses pantas, didorong oleh pencerobohan Rusia ke atas Ukraine serta impak negatif kepada tradisi berkenaan disebabkan oleh peperangan,” kata UNESCO.

(Sup Borshch / FOTO AFP)

Tambah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tersebut, memasukkan budaya memakan sup itu ke dalam senarai UNESCO dibuat untuk menarik perhatian ramai bagi memastikan ia tetap terpelihara meskipun berdepan risiko kepupusan.

Ukraine menganggap borshch iaitu sup berkhasiat yang biasanya dimasak menggunakan ubi bit sebagai hidangan kebangsaan, meskipun ia turut dihidangkan secara meluas di Russia, negara-negara bekas Kesatuan Soviet lain dan Poland.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Russia, Maria Zakharova menyelar pengumuman tersebut.

Katanya, tindakan UNESCO menjadikan hidangan itu sebagai hak milik sebuah negara sahaja adalah tidak wajar.

Namun, menurut UNESCO, sup borshch sudah sebati dan menjadi sebahagian daripada kehidupan dalam keluarga dan masyarakat Ukraine.-AFP

Media Baharu