fb fb fb fb fb

UNESCO cadang Stonehenge disenarai tapak warisan terancam

Foto: REUTERS

PARIS, 25 Jun- Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) semalam mencadangkan Stonehenge disenaraikan warisan dunia dalam bahaya.

Tindakan ke atas tapak prasejarah terkemuka di England itu dilihat sebagai memalukan bagi London serta dianggap sebagai penghinaan oleh beberapa negara.

Ia menjadi tumpuan UNESCO susulan rancangan kerajaan British membina terowong berhampiran tapak yang diwartakan sebagai warisan dunia sejak 1986 itu.

Jawatankuasa Warisan Dunia dalam keputusan bertulis mencadangkan Stonehenge disenaraikan sebagai warisan dalam bahaya UNESCO, bertujuan menggerakkan sokongan antarabangsa.

Ia perlu diputuskan menerusi undian negara anggota Jawatankuasa Warisan Dunia pada mesyuarat di New Delhi, bulan depan dengan seorang diplomat berkata cadangan itu mungkin diluluskan.

Beliau menegaskan, London sudah memutuskan untuk meluluskan projek itu biarpun ada amaran berulang daripada Jawatankuasa Warisan Dunia sejak 2017.

Julai lalu, kerajaan British meluluskan pembinaan terowong bernilai £1.7 bilion (RM8.6 bilion) berhampiran Stonehenge, walaupun terdapat usaha menghentikan projek itu.

Terowong itu bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas di jalan utama sedia ada ke barat daya England, terutama ketika musim percutian.- AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI