WASHINGTON, 26 Julai – Spesies ular terkecil di dunia ular benang Barbados (Tetracheilostoma carlae) ditemui semula di Barbados, hampir dua dekad selepas kali terakhir dilaporkan kewujudannya.
Ia ditemui bersembunyi di bawah batu di kawasan tengah Barbados pada Mac lalu dalam satu tinjauan ekologi dilakukan Kementerian Alam Sekitar dan Kecantikan Negara Barbados bersama kumpulan pemuliharaan Re:wild.
"Ular benang Barbados adalah ular buta, jadi spesies itu sangat sukar dikesan. Ular ini juga sangat jarang dijumpai. Sejak tahun 1889, hanya terdapat segelintir laporan penemuan yang disahkan, jadi tidak ramai pernah melihatnya secara langsung," kata Pegawai Projek Kementerian Alam Sekitar Barbados, Connor Blades, dalam satu kenyataan.
Dengan saiz dewasa hanya sekitar tiga hingga empat inci (8 hingga 10 sentimeter) – cukup kecil untuk hampir muat di atas sekeping syiling 25 sen Amerika – ular benang Barbados dikenali sebagai ular paling kecil di dunia.
Spesies itu dikenali melalui jalur jingga di sepanjang belakangnya, mata di sisi kepala, dan sisik kecil di muncungnya.
"Apabila anda sudah terlalu biasa tidak menjumpai apa-apa setelah mencarinya, anda benar-benar terkejut apabila akhirnya menemuinya.
"Saya sendiri tidak percaya. Saya cuba untuk tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi," kata Justin Springer dari Re:wild yang menemui ular itu bersama Blades.
Penemuan bersejarah itu berlaku selepas pencarian selama lebih setahun, apabila pasangan penyelidik itu mengalihkan batu-batu di bawah akar pokok.
Ular kecil yang ditemui bersama seekor cacing tanah itu, dibawa ke Universiti Hindia Barat untuk diperiksa secara teliti di bawah mikroskop kerana rupanya sangat menyerupai spesies ular Brahminy blind snake yang bersifat invasif.
Selepas pengesahan dilakukan, ular itu dikembalikan semula ke habitat asalnya di hutan.
Kini, hanya dua peratus daripada hutan primer di pulau Caribbean masih kekal, manakala selebihnya telah dibersihkan untuk pertanian sejak zaman penjajahan 400 tahun lalu.
Ular benang Barbados sangat terdedah kepada ancaman kepupusan kerana ia membiak secara seksual dan jenis betina hanya menghasilkan sebiji telur bagi setiap musim pembiakan. Ini berbeza dengan spesies Brahminy blind snake, yang mampu bertelur subur tanpa proses persenyawaan.
"Penemuan semula ular benang ini petunjuk bahawa kita perlu memelihara dan melindungi hutan di negara ini.
"Bukan sekadar untuk ular benang ini, tetapi juga termasuk spesies tumbuhan, haiwan, dan warisan kita secara keseluruhannya," kata Springer.– AFP