fb fb fb fb fb

Guterres gesa gencatan senjata, sifatkan situasi Gaza sebagai krisis moral global

Guterres menyifatkan krisis yang melanda Gaza bukan sekadar bencana kemanusiaan, malah merupakan krisis moral global.

NEW YORK, 26 Julai - Gencatan senjata serta-merta dan berkekalan di Gaza perlu dilaksana, disamping membenarkan akses kemanusiaan tanpa halangan serta pembebasan semua tebusan secara tanpa syarat.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung Global Amnesty International, menegaskan bahawa krisis yang melanda Gaza bukan sekadar bencana kemanusiaan, malah merupakan krisis moral global.

“Tiada apa yang membenarkan kematian dan kemusnahan sejak 7 Oktober,” katanya, sambil menggesa tindakan segera komuniti antarabangsa.

PBB katanya, bersedia meningkatkan operasi bantuan secara besar-besaran di Gaza sekiranya gencatan senjata dikuatkuasakan.

Beliau turut menekankan keperluan penyelesaian Palestin dan rejim Israel serta usaha mempertahan hak asasi manusia.

Kenyataan itu hadir ketika Israel dan Amerika Syarikat memberi bayangan bahawa rundingan damai sukar diteruskan. Netanyahu menyatakan Israel sedang menimbang “opsyen alternatif” di Gaza, manakala Trump mendakwa Hamas enggan berunding.

Situasi di Gaza kini semakin meruncing dengan majoriti penduduk berdepan kelaparan dan kehilangan tempat tinggal akibat konflik berpanjangan.

TUN JULIA MOHD TAHIR