GAZA, 26 Julai - Angka korban di Gaza meningkat kepada 59,676 orang, dengan 143,965 dilaporkan cedera sejak konflik antara Hamas dan rejim israel tercetus pada Oktober 2023, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Gaza pada Jumaat.
Dalam tempoh 24 jam lalu sahaja, serangan tentera zionis telah meragut 89 nyawa dan mencederakan 467 individu, termasuk sembilan orang yang sedang menerima bantuan kemanusiaan.
Pihak berkuasa kesihatan juga memaklumkan bahawa sejak awal Mac 2025, 122 kematian tambahan dicatatkan akibat sekatan ketat israel, termasuk 83 kanak-kanak.
Hospital di seluruh Gaza kini menempatkan pesakit yang mengalami masalah kesihatan berkaitan kebuluran. Sebanyak 900,000 kanak-kanak berdepan krisis makanan dan sekurang-kurangnya 70,000 daripada mereka menunjukkan tanda-tanda kekurangan zat.
Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Timur Dekat (UNRWA) sebelum ini turut memberi amaran bahawa kadar kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun di Gaza meningkat sebanyak 100 peratus antara Mac hingga Jun lalu.
Situasi kemanusiaan di Gaza terus meruncing, dengan penularan penyakit berkaitan kebuluran, kekurangan bekalan perubatan, serta kesukaran akses kepada makanan asas akibat sekatan berterusan.