fb fb fb fb fb

Ulang tahun kemerdekaan Ukraine dibayangi serangan Rusia

(Anggota tentera Ukraine memeriksa kereta kebal ketika semasa pameran kenderaan
dan senjata tentera Rusia yang musnah sempena Hari Kemerdekaan Ukraine/REUTERS)

KIEV, 24 Ogos- Hari ini Ukraine menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-31 tahun daripada pemerintahan Soviet, sepatutnya menjadi hari yang tenang bagi penduduk negara itu.

Bagaimanapun, sambutan tersebut mencabar kerana dibayangi serangan baharu peluru berpandu Rusia.

Hari Kemerdekaan Ukraine, yang telah enam bulan sejak pencerobohan Rusia pada 24 Februari, tahun ini mempunyai makna yang tersediri bagi rakyatnya yang bertekad untuk tidak kembali di bawah kuasa Moscow.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky memberi amaran tentang kemungkinan provokasi dan serangan kejam oleh Rusia.


(Rakyat Ukraine di Malta mengambil bahagian dalam demonstrasi
menjelang Hari Kemerdekaan Ukraine dan enam bulan pencerobohan Rusia/REUTERS)

Sementara itu, perhimpunan awam di ibu kota Kiev dibatalkan dan pelaksanaan perintah berkurung di bandar timur Kharkiv dilanjutkan. Selain itu, ramai pegawai kerajaan telah diarahkan bekerja dari rumah.

Bangkai kereta kebal Rusia yang terbakar dan kenderaan berperisai dipamerkan di tengah bandar Kiev sebagai tanda penentangan menjelang cuti umum.

"Kita mesti sedar bahawa provokasi Rusia yang menjijikkan dan serangan kejam adalah mungkin," kata Zelensky menerusi satu siaran video.

Beliau mengetuai penentangan negaranya sejak tentera Rusia menyerbu sempadan yang Moscow namakannya sebagai "operasi ketenteraan khas" untuk menawan Ukraine.

Pihak berkuasa menggesa orang ramai supaya mengambil serius amaran serangan udara dan mencari perlindungan apabila amaran dikeluarkan.

"Kami berjuang menentang ancaman paling dahsyat terhadap kenegaraan kami dan juga pada masa kami telah mencapai tahap perpaduan negara yang paling hebat," kata Zelensky dalam ucapannya.

Pentadbiran bandar Kiev melarang perhimpunan awam pada skala besar sehingga Khamis, kerana dibimbangi orang ramai menjadi sasaran serangan peluru berpandu Rusia.-REUTERS

Media Baharu