fb fb fb fb fb

Lapan kanak-kanak maut, ramai hilang dalam banjir kilat di Afghanistan

(Foto Reuters)

KABUL, 24 Ogos- Sekurang-kurangnya lapan kanak-kanak terkorban dalam kejadian banjir kilat di wilayah tengah dan timur Afghanistan.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) berkata selain itu, lebih ramai kanak-kanak hilang dalam insiden itu.

Jurucakap UNICEF di Afghanistan, Samantha Mort, berkata angka kematian golongan itu boleh meningkat ekoran lebih ramai kanak-kanak hilang dan mengalami kecederaan.

Sementara itu, pihak berkuasa bencana pentadbiran Taliban berkata sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dalam kejadian banjir kilat tersebut, selain turut merayu bantuan daripada masyarakat antarabangsa.


(Seorang lelaki membersihkan rumahnya yang rosak selepas banjir besar di daerah Khushi, Logar/REUTERS)

Afghanistan telah mengalami bencana alam tahun ini, termasuk kemarau dan gempa bumi kuat yang telah meragut lebih 1,000 nyawa pada Jun lalu.

Dalam pada itu, Afghanistan turut mengalami masalah kewangan sejak Taliban mengambil alih negara itu tahun lalu.

Pekerja bantuan UNICEF berkata mereka bimbang dengan risiko wabak penyakit bawaan air seperti taun akibat air minuman yang tercemar.

Selain kawasan kampung, Bandar Jalalabad, turut musnah. Air naik setinggi dua meter telah memusnahkan harta benda dan meninggalkan lapisan lumpur tebal di seluruh kawasan berhampiran yang terlibat.

"Banyak kerosakan dan kemusnahan berlaku akibat banjir, begitu banyak infrastruktur telah terjejas, termasuk sekolah. Orang ramai telah berulang kali dipindahkan, mereka takut untuk kembali ke kediaman mereka," kata Veronica Houser , seorang pekerja bantuan UNICEF di Jalalabad.

"Seorang ibu di Jalalabad kehilangan tiga anak, manakala dua lagi anaknya masih trauma dengan inisiden banjir buruk tersebut", katanya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sedang mengerahkan pasukan di timur Afghanistan untuk memberikan bantuan kepada ribuan orang yang kehilangan tempat tinggal, ternakan dan tanaman dalam banjir kilat yang melanda negara itu minggu lalu.-REUTERS

Media Baharu