fb fb fb fb fb

Ukraine tolak rayuan Paris untuk gencatan senjata sepanjang Olimpik

FOTO AFP

KIEV, 18 Mei- Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky dalam temu bual dengan AFP pada hari Jumaat mendedahkan dia menolak permintaan daripada Presiden Perancis Emmanuel Macron untuk gencatan senjata pada Olimpik musim panas nanti.

Zelensky berkata, tindakan gencatan senjata hanya boleh membantu Rusia memindahkan tentera dan peralatannya lebih jauh ke daerah Ukraine.

Jelasnya, beliau telah bercakap dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron yang merayu kepadanya agar membuat gencatan senjata.

"Saya memberitahu Emmanuel, siapa yang boleh menjamin bahawa Rusia tidak akan menggunakan masa ini untuk membawa tenteranya ke wilayah kami," katanya.

Presiden Rusia Vladimir Putin pada Jumaat juga berkata Moscow tidak akan menyokong idea gencatan senjata semasa temasya di Paris musim panas ini.

Ditanya semasa lawatan ke China sama ada beliau menyokong idea Macron, Putin berkata: "Saya rasa prinsip Olimpik ini, termasuk 'gencatan senjata Olimpik' adalah sangat tepat."

Tetapi dia menambah: "Pegawai sukan antarabangsa hari ini sendiri tidak mematuhi prinsip piagam Olimpik."

Dia menuduh badan sukan "tidak membenarkan atlet kita membuat persembahan pada temasya itu dengan membawa sepanduk, bendera dan muzik kebangsaan kita, lagu kita,"kata Putin.

Macron menyatakan semula ideanya tentang "gencatan senjata Olimpik supaya Rusia menghentikan operasi semasanya" di Ukraine.

Macron juga berterima kasih kepada Presiden China Xi Jinping minggu lalu kerana menyokong idea gencatan senjata dalam semua konflik, termasuk Ukraine, semasa Sukan Olimpik Paris.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE