fb fb fb fb fb

Ukraine terima AS$8 bilion daripada AS, peruntukan ketenteraan baharu

Foto Reuters

WASHINGTON, 26 September- Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengumumkan bantuan ketenteraan untuk Ukraine bernilai lebih AS$8 bilion dolar pada Khamis.

Peruntukan itu hasil lawatan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy ke AS, sebagai sumbangan dalam membantu Kiev "memenangi perang" menentang Rusia.

"Menyokong Ukraine, yang diceroboh Rusia sejak Februari 2022, telah menjadi keutamaan AS," kata Biden dalam satu kenyataan.

Bantuan itu termasuk penghantaran kali pertama peluru berpandu jarak sederhana yang mampu bergerak sejauh 130 kilometer, digelar sebagai 'Joint Standoff Weapon'.

Menerusi pengumuman itu, Ukraine akan mendapat tambahan kos bagi sistem pertahanan udara serta bekalan peluru sekali gus mengukuhkan pangkalan pertahanannya berdepan ancaman Rusia yang berterusan.

Biden turut mengarahkan Pentagon memperluaskan latihan untuk 18 juruterbang F-16 Ukraine, tahun depan.

Dalam pada itu, Presiden Volodymyr Zelenskiy mengucapkan terima kasih kepada Presiden Joe Biden dan Kongres AS untuk pakej bantuan ketenteraan baharu berkenaan.

"Saya berterima kasih kepada Amerika Syarikat kerana menyediakan barangan yang paling penting untuk melindungi rakyat kita," kata Zelenskiy di media sosial X.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM