fb fb fb fb fb

Ukraine sedia eksport makanan ke Syria

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy / Foto Reuters

KIEV, 15 Disember - Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy telah mengarahkan kerajaannya untuk menubuhkan mekanisme bagi mengeksport makanan ke Syria dengan kerjasama organisasi antarabangsa dan rakan kongsi.

Arahan tersebut dikeluarkan selepas kejatuhan Presiden Bashar al-Assad.

Ukraine, salah satu pengeksport utama bijirin dan biji-bijian yang digunakan untuk menghasilkan minyak, sebelum ini mengeksport gandum dan jagung ke negara-negara Asia Barat, namun Syria bukan sebahagian daripada negara penerima.

Menurut sumber Rusia dan Syria, bekalan gandum dari Rusia ke Syria telah digantung akibat ketidaktentuan dan kelewatan pembayaran.

Syria sebelum ini mengimport makanan dari Rusia sepanjang era pemerintahan Assad.

“Kami bersedia membantu Syria mencegah krisis makanan, terutamanya melalui program kemanusiaan Grain from Ukraine,” kata Zelenskiy menerusi ciapan di platform X.

“Saya telah mengarahkan kerajaan untuk menubuhkan mekanisme bekalan makanan dengan kerjasama organisasi antarabangsa dan rakan kongsi yang dapat menyokong usaha ini,” tambah beliau.

Eksport Ukraine turut terjejas akibat pencerobohan berskala penuh oleh Rusia pada Februari 2022, yang secara ketara mengurangkan penghantaran melalui Laut Hitam.

Walau bagaimanapun, Ukraine berjaya memecahkan sekatan laut de facto tersebut dan menghidupkan semula eksport dari pelabuhan selatan Odesa.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN