KIEV, 2 Februari- Ukraine dan Rusia saling menuding jari atas serangan peluru berpandu yang mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang di asrama sebuah sekolah di wilayah Kursk, Rusia, yang kini dikuasai Ukraine.
Dalam beberapa bulan terakhir, wilayah Kursk menjadi medan pertempuran sengit, dengan sebahagian besar dikuasai Ukraine sejak Ogos tahun lalu.
Tentera Ukraine mendakwa menerusi aplikasi Telegram bahawa Rusia telah melancarkan serangan bom udara dari wilayahnya sendiri yang mengenai sekolah berasrama di Sudzha, membunuh sekurang-kurangnya empat orang.
Sekolah itu dikatakan menempatkan individu yang bersiap sedia untuk dipindahkan.
Setakat pukul 10.00 malam waktu tempatan pada Sabtu, seramai 84 orang telah diselamatkan atau menerima bantuan perubatan, dengan empat daripada mereka dalam keadaan kritikal.
Usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, berkata serangan di Sudzha, yang terletak kira-kira 12 kilometer dari sempadan Ukraine, mencerminkan cara Rusia berperang.
"Mereka memusnahkan bangunan itu walaupun terdapat puluhan orang awam di dalamnya.
"Inilah cara Rusia berperang di Chechnya beberapa dekad lalu. Mereka membunuh rakyat Syria dengan cara yang sama. Bom Rusia turut memusnahkan rumah-rumah di Ukraine dengan cara yang serupa," tulis Zelenskyy di platform X.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan Rusia pula mendakwa menerusi Telegram pada awal Ahad bahawa serangan itu dilakukan oleh Ukraine menggunakan peluru berpandu yang dilancarkan dari wilayahnya.
Pemangku gabenor wilayah Kursk, Alexander Khinshtein, turut menuduh Ukraine sebagai dalang serangan itu.
Namun berkata, jumlah sebenar mangsa masih belum dapat dipastikan.- REUTERS