fb fb fb fb fb

Ukraine puas hati dengan persidangan di Jedah, setuju adakan mesyuarat baharu

(FOTO AFP)

KYIV, 8 Ogos-Ukraine berpuas hati dengan sidang kemuncak yang diadakan di Jedah minggu lalu berkaitan rundingan damai bagi mengakhiri perang.

Wakil daripada 40 negara termasuk China, India, dan Amerika Syarikat turut mengambil bahagian dalam rundingan damai tersebut kecuali Rusia yang tidak dijemput.

Salah seorang wakil Presiden Ukraine, Andriy Yermak berkata negara itu berpuas hati dengan keputusan yang dicapai pada persidangan berkenaan.

"Kami berpuas hati dengan keputusan persidangan.

"Mesyuarat di Jedah adalah manifestasi kepada dunia bahawa tiada tempat buat penceroboh (Rusia)", kata Yermak.

Yermak turut mendedahkan terdapat persetujuan bagi mengadakan mesyuarat baharu, namun tiada sebarang tarikh ditetapkan.

Dia turut menjangkakan mesyuarat berkenaan bakal menarik lebih banyak penyertaan dari pada pelbagai negara.

Sementara itu, Rusia yang tidak dijemput menyertai sidang itu menegaskan penyelesaian kepada konflik itu dapat dicapai sekiranya Ukraine dapat menghentikan permusuhan dan serangan.

Rusia turut menggesa agar negara-negara barat seperti Amerika Syarikat dan sekutunya berhenti daripada membekalkan senjata kepada Ukraine.


Dalam pada itu, Jurucakap kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova dilaporkan berkata Ukraine perlu menyerahkan wilayah yang diduduki kepada Rusia.

"Asas kedaulatan Ukraine iaitu bersifat neutral, tidak bersekutu dan bukan nuklearnya, mesti disahkan", kata Zakharova dalam satu kenyataan.

Konflik Ukraine-Rusia yang telah memasuki setahun telah mengorban ribuan tentera dan orang ramai.

Menurut laporan antarabangsa, dianggarkan kira-kira 200,000 tentera Rusia terjejas manakala di pihak Ukraine sekitar satu juta terbunuh atau cedera dengan 30,000 kematian membabitkan orang awam sejak perang meletus.-AFP


(FOTO AFP)

Media Baharu