fb fb fb fb fb

Imran dalam keadaan baik-Jurucakap

(FOTO AFP)

ISLAMABAD, 8 Ogos - Bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan berada dalam keadaan baik meskipun berada pada situasi sukar dalam penjara, kata jurucakapnya semalam, susulan sabitan rasuah yang menyebabkannya tidak bertanding dalam pilihan raya yang dijadualkan pada akhir tahun ini.

Bekas bintang kriket Pakistan itu ditangkap Sabtu lalu dan dibawa ke penjara selepas didapati bersalah dalam salah satu daripada lebih 200 kes yang dihadapinya sejak dipecat daripada jawatan melalui undi tidak percaya pada April 2022.

Jurucakapnya, Raoof Hasan berkata Imran ditahan di sebuah lokap yang kecil dan daif.

"Dia memberitahu bahawa dia tidak akan sesekali berkompromi dengan prinsip yang dipegangnya selama ini", kata Raoof kepada AFP.

Menurut Raoof, bekas pemimpin berusia 70 tahun itu ditahan sel kelas C, tidur di lantai dan hanya mempunyai sedikit ruang untuk bersolat.

Selain itu, sel berkenaan mempunyai sedikit akses kepada cahaya pada siang hari.

Sel itu juga dilengkapi sebuah kipas tetapi tiada penghawa dingin pada musim panas.

Tambah Hassan, pasukan peguam Imran kini berusaha memfailkan permohonan ikat jamin dan rayuan agar Imran dipindahkan ke sel penjara kelas A.

Pada perbicaraan Sabtu lalu, hakim mendapati Imran bersalah kerana gagal mengisytiharkan hadiah yang diterimanya semasa memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dan menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun.

Hukuman itu telah menyebabkan kelayakan Imran dibatalkan daripada mengambil bahagian dalam pilihan raya.

Penangkapan dan penahanan Imran selama tiga hari berhubung kes yang sama pada Mei lalu mencetuskan keganasan maut, dengan puluhan ribu penyokongnya turun ke jalan dan bertempur dengan polis.-AFP




(FOTO AFP)

Media Baharu