fb fb fb fb fb

Ukraine nafi tentera Rusia berjaya tawan Bakhmut

(Anggota tentera Ukraine menembak sistem roket pelancar berganda BM-21 Grad ke
arah tentera Rusia berhampiran bandar barisan hadapan Bakhmut/AFP)

KIEV, 21 Mei- Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky menafikan Bakhmut telah jatuh ke tangan Rusia, kata jurucakapnya.

Kenyataan dikeluarkan sehari selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin mengucapkan tahniah kepada tenteranya dan kumpulan tentera upahan swasta Wagner yang mendakwa telah mengambil alih sasaran simbolik itu.

Pengumuman dibuat semalam beberapa jam selepas Kiev berkata pertempuran itu berterusan, sambil mengakui keadaan adalah "kritikal".

Hari ini jurucakap Zelensky, Sergiy Nykyforov menerusi catatan di Facebook menjelaskan bahawa presiden Ukraine itu tidak mengesahkan kehilangan Bakhmut kepada tentera Rusia.

"Presiden menafikan penawanan Bakhmut," katanya.

Kehilangan Bakhmut akan menjadi simbolik besar bagi Ukraine, yang telah bertahan selama berbulan-bulan, mengabaikan nasihat Amerika Syarikat agar memberi tumpuan kepada kawasan lain memandangkan kekurangan kepentingan strategik bandar itu dalam perang yang lebih luas.

Terdahulu Zelensky tidak jelas dalam jawapannya apabila ditanya: "Adakah Bakhmut masih dalam tangan Ukraine? Rusia mengatakan mereka telah mengambil Bakhmut."

Beliau berkata: "Saya rasa tidak."

"Tiada apa-apa di tempat itu, hanya runtuhan dan banyak rakyat Rusia yang mati," katanya kepada pemberita di luar Sidang Kemuncak G7 di Hiroshima, Jepun.

Bakhmut, sebuah bandar perlombongan garam yang pernah mempunyai populasi 70,000 orang, menjadi tempat pertempuran paling lama dan paling berdarah dalam operasi ketenteraan khas Rusia selama lebih setahun di Ukraine. -AFP

(REUTERS)

Media Baharu