fb fb fb fb fb

Pengundi muda dominasi pilihan raya parlimen Timor Leste

(Taur Matan Ruak membuang kertas undi semasa pilihan raya umum di Dili pada 21 Mei 2023/AFP)

DILI, 21 Mei- Rakyat di Timor Leste keluar mengundi hari ini dalam pilihan raya parlimen, dengan harapan menamatkan kebuntuan politik selama bertahun-tahun di negara termuda Asia itu.

Ini merupakan pilihan raya parlimen kelima sejak Timor Leste memperoleh kemerdekaan daripada Indonesia pada 2002.

65 penggubal undang-undang akan dipilih untuk mandat lima tahun.

Pusat pengundian dibuka seawal pukul 7.00 pagi waktu tempatan.

Timor Leste mempunyai 890,000 pengundi berdaftar, dan sejumlah 17 parti bersaing untuk mendapatkan kerusi tetapi pilihan raya kali ini dijangka menjadi pertembungan antara dua yang terbesar.

Barisan Revolusi untuk Timor Leste Merdeka juga dikenali sebagai Fretilin, mengetuai gabungan yang sedang berkuasa, manakala Kongres Kebangsaan untuk Pembinaan Semula Timor (CNRT) berharap dapat membuat kemunculan semula.

CNRT diketuai Xanana Gusmao, presiden pertama negara itu sehingga 2007, manakala ketua Fretilin ialah bekas Perdana Menteri, Mari Alkatiri.

Kedua-duanya dianggap ikon era kemerdekaan dan merupakan veteran politik Timor Leste.

Golongan muda membentuk sebahagian besar pengundi dengan 1.3 juta orang, 65% daripadanya berumur bawah 30 tahun.

CNRT memenangi pilihan raya presiden tahun lalu selepas meraih 62 peratus undi.

Penerima Anugerah Nobel Keamanan dan sekutu Gusmao, Jose Ramos-Horta menyandang jawatan itu.

Gusmao berharap dapat membina momentum itu dengan mengambil alih badan perundangan, tetapi beliau mungkin perlu menjalin pakatan dengan parti yang lebih kecil.

Sementara itu, Fretilin Alkatiri berikrar untuk meraih kemenangan jelas dan mengekalkan kedudukan di parlimen.

"Jika Fretilin menang, perkara penting yang perlu kita lakukan ialah memerangi rasuah dan melabur lebih banyak dalam pendidikan, kesihatan dan pertanian," kata Alkatiri selepas mengundi.

Timor Leste sedang bergelut dengan kemiskinan, kesan daripada pandemik dan bencana alam yang dahsyat, termasuk taufan 2021 yang membunuh sekurang-kurangnya 40 orang. -AFP

(Pengundi beratur untuk mengundi semasa pilihan raya umum di Dili/AFP)

Media Baharu